Wednesday 4 January 2017

Leirvik

similar entry can be found here: 

Aku pandang bed frame putih di hadapan. Cantik! Sekali pandang, terus terpikat. Pantas tangan menarik label dan membacanya, Leirvik Bed Frame RM749.

Pheww... boleh tahan!

Keadaan sekeliling yang hingar bingar dengan orang ramai, langsung tak kuhiraukan. Biarlah mereka tu. Lantas tangan menyusun bantal-bantal yang bersepah di atas tilam.

Kemudian, duvet yang bergumpal tersebut aku angkat dan bentangkannya di atas tilam. Aku ratakan bahagian yang berkedut dan berlipat. Hujung bahagian duvet yang berdekatan dengan bantal, aku lipatkan dalam sejengkal.

Setelah bahagian kanan kelihatan kemas dan rata, aku beralih ke sebelah kiri. Lipatan duvet, aku samakan seperti di bahagian kanan. Setelah berpuas hati, aku berdiri di hujung katil. Senyum! Puas hati tengok keadaan katil cantik ini kembali kemas.

"Ehemmm..."

Aku menoleh ke arah suara disebelah. Lelaki. Dahi aku berkerut memandangnya. Iyalah, tiba-tiba aje berdiri sebelah aku. Siap berdehem lagi. Dia nak apa sebenarnya?

"Sudi tak jadi pengemas katil kita seumur hidup?"

Eh, sekejap! Otak cuba mencerna perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Aku tengah happy pandang katil yang kemas ni, tetiba kena tanya soalan. Memanglah blur.

What?!

Tiba-tiba ada tangan menarik aku dari kedudukan sekarang. Itulah! Seronok sangat tengok katil cantik tu sampaikan aku lupa aku berada di mana ketika ini.

"Kau ni... buat malu aje!"

Aku tarik tangan yang berada dalam genggaman sahabatku ini. Tak puas sebab tiba-tiba kena marah. Apa salah aku? Setakat kemas katil tu aje...

"Kau ingat kita kat rumah ke? Kita kat Ikea tahu, tak?!"

"Kau tahu kan aku tak boleh tengok katil bersepah..."

"Tapi, patut-patutlah weh. Kalau kat rumah, tak pe juga! Ini kat tempat awam kut."

Aku diam. Nak melawan pun tak boleh. Betul juga kata dia. Tempat awam. Tak boleh bertindak sesuka hati, nanti dipandang pelik oleh orang keliling.

Jadi, membuat katil bersepah itu adalah normal dan mengemaskan katil di tempat awam adalah sesuatu yang di luar norma? Ah, pelik betul masyarakat kita hari ini!