Tuesday 31 March 2015

TEASER #8 : Awak, Jom Cinta Sampai Syurga!



Tiba di rumah selepas waktu kerja, aku terperasan kereta Naqib telah pun terpakir elok di seberang jalan. Apa dia buat dekat kawasan rumah aku pada waktu-waktu begini? Dahlah mungkir janji!

Kata nak telefon, tapi sampai ke sudah tak ada pun. Nasib baiklah aku ikut Nisa’ keluar makan tadi. Kalau tidak, alamatnya kebulur aku sampai ke petang ni. Aku jeling tajam ke arah susuk tubuh yang mula mendekati pagar rumah.

“Asalammualaikum…”

“Wa’alaikummussalam.” aku jawab acuh tak acuh sahaja.

“Ha, Naqib. Mama ingat siapalah tadi. Eh…”

“Along tak ada, tak boleh nak jemput masuk,” cepat sahaja aku potong kata-kata mama sebelum mama mengajak Naqib masuk ke dalam.

Mama gelengkan kepala, “Naqib dah solat asar?”

“Dah mama. Dekat surau depan tu.”

Mama mengangguk, “Iyalah. Mama masuk dulu.”

“Ma… Naqib nak ajak Meen ke taman depan ni boleh?”

“Pergilah. Jangan lambat sangat. Dah nak Maghrib ni. Hayfa…” mama menyentuh bahu aku lembut.

Erghhh! Mama ni. Ikut aje cakap Naqib tu. Benci betullah. Dahlah aku tengah marah dan merajuk dengan mamat ni. Eh, dah pandai merajuk sekarang ya, Hayfa? Parah betul!

Pagar automatik dibuka semula. Hati mendongkol mengekori langkah Naqib. Nasib baiklah dekat aje, tak sampai 100 meter dari rumah. Kami melabuhkan duduk di bangku batu yang masih kosong. Aku memerhatikan kanak-kanak yang sedang bermain dengan buaian, jongkat-jongkit, gelongsor dan juga berkejaran.

“Meen lunch dekat mana tengah hari tadi?” soal Naqib memulakan bicaranya dan memandangku.

“Secret Recipe dengan Nisa’.”

“Berdua aje?”

Aku terdiam. Bukan ke aku dah cakap dengan Nisa’. Kenapa nak tanya lagi berdua aje pula? Dia nampak ke?

“Siapa lelaki yang makan dengan Meen dan Nisa’ dekat Secret Recipe tengah hari tadi?”

Aku ternganga. Hah?! Sampai macam tu sekali ke dia ekori aku? Kalau dah nampak, kalau dah tahu, kenapa tak tegur aje? Kan lebih senang macam tu. Boleh aje aku kenalkan mereka berdua.

“Jangan buat muka terkejut macam tu Meen.”

Aku kembali menumpukan perhatian pada bicara Naqib, “Kenapa abang tak tegur Meen? Boleh aje Meen kenalkan abang dengan Luq.”

Mata Naqib tajam menikam mataku. Riak wajahnya bertukar. Ada pergerakan pada bahagian tulang dagunya seolah-olah dia menahan marah.

“Meen sengaja cabar kesabaran abang ya?”

Dahiku berkerut. Aku cabar kesabaran dia? Aku cuma cerita yang betul sahaja. Tak ada niat langsung nak cabar-mencabar. Control freak betullah Naqib Farabi ni!

“Meen tak bermaksud macam tu pun… Meen cuma nak kenalkan abang dengan Luq yang dah beberapa kali selamatkan Meen.”

So, he is your hero? And who am I to you?” sinis sahaja suara Naqib menyapa gegendang telingaku. 

“Meen tak…”

“Maksudkan macam tu? Itu ajelah alasan Meen. kan? Semuanya tak bermaksud. Semuanya tak bermakna. Jadi, abang ini pun tak ada fungsinyalah untuk Meen?”

Aku hilang kata. Tak mampu untuk melawan bicara lelaki dihadapanku ini. Bukan aku tak cuba untuk menjelaskan. Tapi, Naqib yang tak mahu terima. Jadinya, biarlah dia nak fikir apa sahaja. Aku tak ada kuasa untuk membetulkan fikirannya yang suka syak bukan-bukan.

“Abang, lets end it here. Our discussion is getting nowhere. Lagipun tak manis kita bergaduh dekat sini,” lembut sahaja aku bersuara memujuk Naqib yang kelihatan bengang.

“Astagfirullahal’adzim…” Naqib meraup wajahnya.

 Dia menghembuskan nafas perlahan. Pandangan Naqib kembali lembut menatap mataku. Ada riak bersalah pada renungannya.

“Meen penat. Meen nak rehat. Meen balik dulu…”

“Sayang…”

Kaki tidak jadi melangkah. Mata dipejamkan rapat-rapat. Ada getar rasa di jiwa setiap kali Naqib memanggil aku begitu dengan gelaran itu. Kenapa hati perlu bereaksi begitu kalau telah dihadkan rasa untuk lelaki ini? Atau rasa hati memang tidak mampu dikawal?

“Abang cemburu. Meen nampak mesra dengan dia. Macam Meen dan dia ada hubungan hati…”

“Meen baru kenal dia abang.”

“Abang minta maaf ya, sayang? Abang janji tak akan ikut sangat perasaan cemburu abang ni. Abang takut hilang Meen.”

“Abang sayangkan Meen, kan?”

Naqib angguk pantas.

“Boleh tak kalau abang percayakan Meen?”

Naqib senyum dan mengangguk, “Meen dah terima abang?”

Aku diam, mengiakan tidak. Menidakkan pun tidak. Hanya diam dengan senyuman terukir di bibir.

Thanks sayang!”

Oh, by the way… abang lunch dengan siapa hari ni? Meen telefon pun tak berjawab. SMS pun abang tak hantar untuk maklumkan yang abang tak jadi datang. Kalau Meen tunggu, kesian Meen kelaparan.”

Wajah Naqib berubah serta merta. Ada rasa bersalah terbias di wajahnya. Aku terkedu. Pantas aku menoleh dan atur langkah. Tak perlu luahkannya pun aku dah tahu jawapan Naqib.

 Remuk!

4 comments:

  1. tak sabar nak baca lagi....

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.
      tunggu buku di PBAKL 2015 ya ;)

      Delete
  2. Boleh tau penerbit nanti senang nak cari di pbakl.

    ReplyDelete