Saturday 21 March 2015

Teaser #2 - Awak Jom Cinta Sampai Syurga


SENYUM ikhlas aku tayang di bibir. Cara paling mudah dan murah untuk dapat pahala sedekah. Tak salah sebenarnya kita senyum pada orang. Lagipun, seperti yang diriwayatkan dalam Hadis Muslim nombor 6637; Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, ‘Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dalam senyuman)’.

 “Meen…”

Aku panggung pandang wajah lelaki di hadapan, wajah yang pernah mencuri tumpuanku di awal perkenalan kami. Lelaki yang pernah membuai rasa hatiku suatu ketika dulu. Namun, sebaik sahaja tahu dia sudah mempunyai kekasih, cepat-cepat aku padamkan rasa yang mula bercambah dalam hati. Biarlah hanya aku dan Sang Pencipta sahaja yang tahu rasa hati ini.

“Yup,” jawabku sambil mempamerkan wajah ceria.

“Dapat tak apa yang abang terangkan ni?”

Kertas yang dah berconteng di hadapan, aku tatap dengan pandangan kosong. Errr, apa mamat ni terangkan tadi ya? Aku garu kepala yang bersalut tudung. Aduhai, macam mana boleh tak masuk ni? Itulah, asyik sangat pandang wajah penenang jiwa dihadapan mata ini, kan?

“Meen yang kena buat kertas kerja ni ke?”

“Ya Allah, budak ni! Meen kan setiausaha, kenalah buat.”

Sengih aku pamerkan pada lelaki ini. Serius sahaja bila bekerja, tapi bila diluar waktu kerja, aduhai… boleh cair hati aku dibuatnya dengan kelembutan suaranya, sikap ambil berat dia tu dan layanannya. 

“Iyalah, Meen buat. Manalah tau kut abang baik hati nak tolong buatkan,” usikku sambil mengutip semua kertas-kertas yang diconteng oleh lelaki yang membahasakan dirinya sebagai ‘abang’.

Serius sangat pun nanti jadi stress. Baik santai-santai macam sekarang ini. Lagipun program yang nak di anjurkan ni program amal, nak menarik minat pelajar-pelajar ni kampus ini untuk lebih aktif dalam program kebajikan dan aktiviti kesukarelawan.

“Meen sihat?”

“Alhamdulillah,” aku angguk pantas.

“Mama dan along?”

Dia dah mula pamer sikap ambil berat, tak macam tadi yang serius semacam. Ton suara lelaki ini pun dah kedengaran lembut bertanyakan soalan-soalan berbaur peribadi padaku.

“Alhamdulillah, mama dan along semua sihat. Kan abang dah jumpa mama dua minggu lepas dekat The Mines tu,” ujarku mengingatkannya.

“Itu dua minggu lepas, bukan minggu ni.”

Aku ketawa, “Okeylah abang, Meen nak balik kolej,” ujarku sambil mengerling jam di pergelangan tangan kiri.

Alamak, dah pukul 5 petang. Asar belum lagi. Kena cepat ni. Ish, ini semua Naqib Farabi punya pasallah. Nak sangat jumpa petang ni juga. Tak menyempat-nyempat, macam tak ada hari lain aje.

Program yang nak di anjurkan tu bukannya dalam waktu terdekat, masih ada masa panjang lagi sebenarnya. Tapi, lelaki ini yang beria-ia untuk siapkannya awal sebab itulah dia nak sangat jumpa aku. Sekarang ini aku mula meragui tujuan asalnya bila soalan-soalan yang dikemukakan berbaur peribadi.

“Abang hantar balik kolej,” nada suara Naqib berbaur arahan.

“Eh, tak payahlah,” tolakku sopan.

Seram! Ya, tak boleh layan sangat Naqib ni. Nanti lain pula jadinya. Macamlah aku tak tahu niat dia. Dah terang lagi bersuluh kut. Dari hari pertama sewaktu pendaftaran lagi dah nampak sangat yang Naqib memang kejar aku. Bukan aku suka-suka nak syak-wasangka atau aku buat cerita fitnah, tapi ramai yang maklumkan perkara sama.

Memanglah masa awal tu aku layan dia baik. Lagipun dia itukan senior dan merupakan fasilitator masa program orientasi dulu. Tapi, bila tahu dia dah ada teman wanita, aku cuba letakkan jarak dalam hubungan kami.

“Abang janji abang hantar Meen balik kolej sahaja, tak pergi mana-mana,” cepat sahaja Naqib bersuara untuk meyakinkan aku.

“Tak apalah abang, Meen ingat nak singgah surau dulu. Dah pukul 5 petang ni, Meen belum Asar lagi.”

“Solat kat bilik ajelah, Meen. Abang hantar balik kolej, kan lebih cepat sampai,” pelawa Naqib bersungguh.

Lelaki ini memang tak reti nak putus asa agaknya. Macam mana lagi ya nak buat dia faham? Aku tak nak ikut dia naik kereta. Aku tak mahu berdua-duaan dengan dia dalam keretanya itu. Tak sanggup!

“Tak apa…”

“Abang dah putus dengan Yana," tiba-tiba dia berkata.

Aku terdiam seketika cuba menghadam ayat yang keluar dari mulutnya. Bimbang juga kalau aku tersilap tafsir. Aku pandang wajah dan mata Naqib yang kelihatan meyakinkan.

Dia mengangguk perlahan dengan pandangan mata kami terus bertatapan, “Abang dah tak ada apa-apa dengan Farah Liyana.”

Pantas aku larikan pandanganku ke arah lain. Apa perlunya dia beritahu aku mengenainya? Apa kena-mengena hubungan dia dan Farah Liyana tu dengan aku? Kalau dia rasa aku boleh terima dia selepas dia putus dengan Liyana, dia dah buat silap besar.

Aku tak mahu dituduh perampas. Aku tak sanggup digelar sebagai orang ketiga dalam hubungan mereka. Bukan aku orangnya untuk mengganggu-gugat hubungan mereka.

“Meen dengar tak apa abang cakap?”

Kepala aku anggukkan beberapa kali, “So?”

“Abang nak kita…”

“Meen nak pergi surau,” cepat sahaja aku potong kata-katanya.

Sejurus itu aku atur langkah untuk meninggalkan Naqib yang tetap memanggil namaku. Aku buat-buat tak dengar. Tak nak aku layan panggilan dia tu. Buat sesak jiwa aje.

“Meen! Yasmeen Hayfa!” Tanganku direntapnya kasar dan membuat badanku berpusing.

Aku kembali mengadap lelaki ini secara berdepan. Namun, wajah aku tundukkan pantas dan nafas kutarik dalam-dalam. Cuba menenangkan rasa hati yang berdebar kencang apabila jarak antara kami terlalu rapat.

“Nak apa lagi abang?” Aku menggeliat, cuba melepaskan tangannya yang mencengkam lenganku dengan kejap sekali.

“Abang nak Meen,” tegas jawapan Naqib dengan wajah serius dan tangannya makin kuat mencengkam lenganku.

“Abang, lepaslah… Sakit…” Hampir menitis air mataku menahan sakit dicengkam lelaki ini.

“Meen tahukan abang sayang Meen.”

“Tapi, bukan ini caranya…” datar suaraku.

Naqib menarik lenganku dan memaksa aku mengekori langkahnya. Tiba di hadapan pintu kereta, dia menekan butang alarm.

“Masuk!” tegas suara lelaki ini menyapa gegendang telinganya.

Aku tersentak dan serentak itu pintu kereta dibuka. Lelaki ini memang terkenal dengan sikap yang suka memaksa. Setiap katanya memang harus dipatuhi. Bukan sekali dua, dah banyak kali. Betullah kata orang, luaran yang nampak cantik itu tak semestinya sama dengan dalaman.

Naqib Farabi ini adalah buktinya. Luarnya nampak perfect. Segak dan bergaya. Lembut bicaranya pada yang baru mengenali. Namun setelah lebih setahun ini, sikap Naqib yang suka mendesak itu semakin jelas terpamer. Macam sekarang inilah.

“Abang, please… Lepaskanlah tangan Meen ni abang, sakit…” rayuku lagi dengan riak wajah disayukan.

Air mata sudah mula bertakung di kelopak mata dan perlahan-lahan ianya turun membasahi pipi. Aku sudah teresak menahan sakit. Semakin aku berusaha untuk melepaskan cengkaman tangannya, semakin kuat dia mencengkam. Mesti balik nanti bengkak dan lebam.

Ya Allah, mudah-mudahan dia sedar yang dia sedang mencengkam lenganku ini dengan kuat, doaku tidak putus dalam hati.

“Meen?” Dia pandang wajah aku yang dah basah dengan air mata dengan dahi berkerut.

“Sakit abang…” lirihku.

Sorry, sorry, sorry…” Pantas Naqib melepaskan cengkaman tangannya pada lenganku.

Jelas kelihatan riak bersalah terpamer di wajahnya. Beginikah bukti kasih sayang dia pada aku? Hingga sanggup mencederakan?

I am so sorry, Meen. Abang tak sengaja. Meen masuk ya, abang hantar balik kolej sekarang,” lembut dia memujuk.

Aku angguk sahaja, bukan kerana termakan pujukannya. Tapi sebab tak mampu lagi untuk melawan kata-katanya. Bimbang nanti entah apa lagi tindakan luar jangkanya.

Biarlah untuk sekali ini aku turutkan sahaja permintaannya.

2 comments: