Sunday 29 March 2015

Teaser #7: Awak, Jom Cinta Sampai Syurga!



Telefon berbunyi. Cepat aku capai telefon yang sedang dicaj. Siapa ajelah yang kacau aku malam-malam ini. Sebaik mata berlabuh pada skrin telefon, aku mengeluh perlahan. Siapa lagi kalau bukan Naqib.

“Hai sayang!” sapa Naqib sebaik talian bersambung.

“Ada apa?” balasku acuh tak acuh sahaja.

“Esok free tak? Tengok wayang jom.”

“Busy. Tak berminat!” talian telefon aku matikan begitu sahaja.

Sengaja sebab aku tahu yang Naqib mesti akan hubungi aku semula. Sejak peristiwa makan tengah hari yang lalu, hubungan kami boleh dikatakan telah pulih sedikit demi sedikit. Mungkin sebab aku rasa selamat tanpa gangguan daripada Farah Liyana.

Aku memandang skrin kembali. Aik, lambat pula dia telefon semula? Hmm, bergayut dengan Liyana dululah tu. Bencinya! Namun, saat aku mahu mematikan telefon bimbitku, ianya kembali berbunyi. Pemanggilnya masih orang yang sama. Naqib Farabi! Kan aku dah cakap, mesti dia akan telefon balik punyalah! Suka sangat menguji, kan Hayfa?

“Jangan letak. Kalau Meen letak, abang datang rumah malam-malam ni,” ugut Naqib.

Aku ketawa dalam hati. Bibir dah ukir senyum sebenarnya. Naqib bukan tahu aku sengaja mengusiknya. Biarkan dia!

“Abang nak apa ni?”

“Nak cakap dengan sayanglah.”

Aku julingkan mata. Dah berkali-kali aku ingatkan dia untuk tidak memanggil aku dengan panggilan itu. Tapi, masih sama juga. Tak pernah berubah! Kalau along atau mama dengar nanti, satu masalah pula aku nak jelaskan sebab aku pernah tolak Naqib dulu.

“Dengan Meen sayang, dengan Yana rindu,” sengaja aku menyindir Naqib begitu.

Kedengaran suara Naqib ketawa dihujung talian, “Sayang cemburu ya? Abang tak telefon Yana pun, dia yang cari abang dah beberapa hari ni.”

Cemburu? Aduhai… cemburulah sangat! Kalau cakap macam tu memang ke arah cemburu ke?

“Esok tengah hari Meen pergi mana?”

“Entah. Tak tahu lagi.”

“Esok, lunch dengan abang ya? Abang rindulah kalau tak nampak muka Meen sehari.”

Huh! Manisnya ayat. Kadang-kadang aku ngeri juga dengan ayat-ayat manis Naqib ni. Kalau hari-hari disogok dengan ayat-ayat macam tu, confirm batu pun boleh lekuk!

“Kalau Meen cakap tak boleh pun, abang tetap akan datang juga, kan?”

“Tau tak pe. Nanti apa-apa abang call sayang semula ya?”

“Iyalah, abangkan sibuk sentiasa. Meen faham.”

Naqib ketawa dihujung talian, “Boleh pun sayang abang ni cakap baik-baik dengan abang. Kalau tidak, asyik sergah-sergah abang aje. Macam sarjan bagi command dekat medan perang.”

“Abang perli Meen lagi, Meen tak nak kawan abang!”

“Kahwin nak tak?”

“Abang!”

Good night, sayang. Mimpi abang ya malam ni…” talian dimatikan serta-merta.

Geram betullah! Sejak kebelakangan ini baru aku perasan yang Naqib akan terpujuk kalau dilayan baik-baik dengan suara memujuk. Tidak perlu meninggikan suara, tak perlu bentak-bentak dengan dia.

Tapi, kadang-kadang sikap Naqib sendiri sebenarnya yang mengundang rasa geram dan bengang di hati aku. Suka sangat memaksa aku melakukan sesuatu diluar kerelaanku. Suka sangat mencabar kesabaranku.

No comments:

Post a Comment