Saturday 28 March 2015

Teaser #6: Awak, Jom Cinta Sampai Syurga!


Sebal gila aku rasa sekarang ini! Arghhh, kenapalah Naqib ni suka sangat gunakan along? Along tu pula, kenapalah suka sangat sebelahkan Naqib? Naqib Farabi tu adik kandung dia ke atau Yasmeen Hayfa ni darah daging dia? Putus selera aku nak telah makanan yang berada di hadapanku ketika ini. 

“Meen, makanlah. Kenapa kuis-kuis aje makanan tu?”

“Tak lapar!” mencerlung pandanganku padanya.

Menyampah. Menyampah. Menyampah. Itu sahaja yang terbit dalam hati aku sekarang ini. Sungguh-sungguh aku menyampah apabila berdepan dengan lelaki tak faham bahasa ini berdua sahaja di tempat makan eksklusif yang dipilihnya. Dia ingat dia bawa aku makan kat tempat macam ni, boleh beli jiwa akulah? Mampu cairkan hati aku, macam tu?

Aku tikam-tikam kepingan ayam dalam pinggan dengan garfu dan pisau. Rasanya Chicken Chop dalam pinggan ni memang betul-betul dah kena chop dengan aku. Hancur dah daging ayam dalam pinggan, dah tak ada rupa boneless chicken. Dah macam minched chicken kut.

“Tak sedap ke?”

Naqib Farabi cuba untuk menyeberangkan garfunya ke dalam pingganku. Cepat-cepat aku tahan garfunya dengan pisau dengan pandangan mata tajam ke arahnya. Amboi, beraninya dia nak mengambil makanan dalam pinggan aku! Siapa beri dia hak itu?

Aku tenung wajah Naqib dengan emosi yang kutahan-tahan. Sabar Yasmeen Hayfa, tempat ramai orang dan depan rezeki ni. Jangan tinggikan suara. Jangan marah. Sabar banyak-banyak. Pesan aku pada diri sendiri.

“Meen dah cakap tadikan yang Meen kenyang lagi dan Meen tak nak pergi lunch dengan abang. Kenapa abang suka sangat paksa Meen?”

Pandai sungguhlah along tu. Mula-mula suruh aku ikut diorang pergi lunch. Lepas tu sampai sahaja restoren ni, baru sahaja nak buat pesanan, along cakap dia terpaksa beredar sebab ada perkara urgent yang perlu diselesaikan.

Perkara apa? Kenapa sebagai pembantu peribadi dia aku tak tahu pun yang along ada lunch date dengan mana-mana syarikat atau mana-mana individu? Tak tahulah apa niat along tu, tapi nampak sangat macam sengaja je along tu nak tinggalkan aku berdua dengan Naqib ni. Siap dia, aku report dengan mama nanti!

“Makanlah sikit. Atau Meen nak abang suapkan?”

“Beranilah su…”

Aku tergamam bilamana tahu-tahu sahaja garfu Naqib yang terlekat daging Sirloin Steak disuapkan ke dalam mulutku pantas. Cisss, melampau sungguhlah!!! Aku pandang Naqib yang senyumannya seperti mengejek. Napkin di sebelah aku capai, namun belum sempat aku keluarkan cebisan daging yang disuap Naqib, lelaki itu bersuara.

“Keluarkan dan Meen tahulah untung nasib Meen nanti,” matanya tajam menikam mataku.

Tiba-tiba aku jadi ragu-ragu dan takut pula mendengar ugutan Naqib Farabi yang kedengaran serius. Iyalah, kalau dia boleh buat along bersetuju untuk benarkan aku keluar makan dengan dia dan kemudiannya dengan selamba sahaja menyuapkan cebisan daging ini ke dalam mulutku, tak mustahil dia mampu buat lebih daripada itu. Hailaaa…

“Kunyah dan telan,” arah Naqib dengan wajah sangat serius.

Aku mendengus kasar. Namun aku turuti juga kata-kata Naqib untuk mengunyah dan menelan daging yang berada di dalam mulutku walaupun kunyahanku terasa dipaksa dan terpaksa. Sunguh-sungguh aku cuba untuk menelannya walau tekak terasa perit.

Aku genggam garfu dan pisau yang berada di tangan kuat-kuat. Nanti-nanti kalau ada yang jadi Kassim Selamat kat restoren ini atau ada adegan tertikam dada, jangan ada sesiapa yang berani-berani salahkan aku ya?!

“Nak lagi?”

“Tak nak!”

“Kalau tak nak, kena makan.”

“Kalau tak makan?”

“Kalau tak makan, abang suapkan lagi.” Naqib jungkit kening.

Pandanganku tajam tepat ke wajah Naqib. Kenapa Naqib? Kenapa suka sangat mendera hati dan perasaanku? Tahu tak betapa sakitnya aku menahan rasa yang berbuku dalam hati? Tahu tak betapa susahnya aku cekalkan hati untuk tidak hanyut dengan rasa hati sendiri?

Suka, tapi tak mampu untuk aku luahkan. Sayang, tapi hanya aku yang tahu. Cinta, tapi tak mampu aku kongsikan. Sakit tiap kali hati berlagu rindu, nama Naqib yang bermain di minda. Namun, cuma aku yang rasa.

“Kak Yana…”

“Jangan merepeklah Meen. Yana tak ada kat sini.”

“Jadi, abang hanya berani bila kak Yana tak ada, macam tu?”

Pisau dan garfu di tangannya diletakkan di atas pinggan. Naqib renung wajahku lama hingga akhirnya aku sendiri melarikan wajahku. Terasa pijar kulit mukaku apabila direnung lama begitu oleh Naqib.

“Jawablah.”

“Boleh tak bagi abang makan dengan aman bersama Meen?”

“Meen cuma nak tahu, abang ni lelaki sejati ke atau abang ni pengecut yang hanya berani bila kak Yana jauh dari mata?” Aku mula mempersoalkan keberanian Naqib.

“I’ve moved on, Meen. Abang dengan Yana dah tak ada apa-apa. Percayalah cakap abang. Meen nak suruh abang buat apa lagi untuk buktikan pada Meen yang abang dengan Yana dah tak ada apa-apa? Nak suruh abang belah dada abang, keluarkan hati abang dan serahkan pada Meen, macam tu?”

Aku ketawa sinis seakan memerli lelaki di hadapanku ini, “Naqib Farabi dengan Farah Liyana tak pernah putus! Don’t you get it? No matter what happen both of you will always be together.”

“Yasmeen Hayfa!” Suara Naqib dah meninggi, namun masih terkawal dari di dengari oleh orang lain.

“Sudahlah abang. Hentikanlah sandiwara abang ni. Kembalilah pada kak Yana. She needs you the most.”

Merah padam wajah Naqib Farabi mendengarkan luahan hati aku terhadap hubungan dia dengan Farah Liyana. Betulkan apa yang aku cakap? Bertahun-tahun pun mereka masih tetap bersama. Putus macam mana pun, Liyana tetap akan kembali pada Naqib dan begitulah sebaliknya.

“Meen nak balik!” Putusku.

Mimpi di siang harilah untuk aku dan Naqib bersatu kalau Farah Liyana masih juga tidak putus-putus mengganggu aku dengan mesej-mesej ancamannya. Aku tak mampu untuk melukakan hati dan perasaan wanita lain demi untuk kebahagiaanku kerana aku pasti, Mama juga tidak akan merestui tindakanku nanti.

Jadi, lebih baik baik aku mengundur diri sebelum segalanya terlambat. Sebelum aku serahkan hati aku sungguh-sungguh pada lelaki ini. Sebelum aku tak mampu untuk beralah dan berundur. Biarlah aku simpan sahaja semua rasa yang terbuku dalam lubuk hati yang paling dalam.

No comments:

Post a Comment